PUTRAJAYA: Tiga perkampungan dalam Jajahan Pasir Mas di Kelantan bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan kawasan di Mukim Pasir dan Mukim Gual Periok.
Ia meliputi Kampung Bayu Lalang dan sebahagian Kampung Banggol Kemian ekoran Kluster Komuniti Banggol Kemian daripada asal wanita tempatan berusia 51 tahun positif Covid-19.
Pesakit indeks itu dikesan hasil saringan kontak rapat pada 27 Julai lalu sebelum kes berkenaan terus menular membabitkan seramai 14 lagi individu lain pula.
Satu lagi lokaliti melibatkan sebahagian Kampung Repek susulan Kluster Jalan Engku Muda daripada wanita tempatan berumur 64 tahun pada 14 Ogos sebelum menjangkiti 13 orang.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN),Datuk Rodzi Saad berkata, baki dua lokaliti lagi yang turut dikenakan PKPD terletak di Bahagian Pantai Barat, Sabah membabitkan Kampung Debut, Ranau dan Kampung Tindai Kolopis, Penampang.
“Dua lagi lokaliti di negeri berkenaan yang sepatutnya berakhir PKPD esok namun disambung dua minggu LAGI hingga 11 September INI melibatkan masing-masing di Kampung Brunei, Membakut, Daerah Beaufort, Bahagian Pedalaman dan Kampung Manggaris 2, Daerah Kota Marudu, Bahagian Kudat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, kata beliau, sejumlah 11 lokaliti di negeri tersebut ditamatkan PKPD serentak esok dengan Bandar Sinsuran, Kota Kinabalu berakhir lebih awal daripada sepatutnya 4 September, manakala selebihnya tamat seperti dijadualkan antaranya Kampung Siasai Dundau, Kota Belud; Rumah Kongsi Tapak Bina Prima Lumat, Beaufort; Kampung Rancangan Kalabakan, Kalabakan dan Kampung Contoh, Putatan.
PPR Sri Semarak dan Lorong Mat Salleh Batu 2, Jalan Apas, Tawau serta Kampung Sembulan Tengah dan Lama; Kampung Pulutan, Kampung Mansiang, Kampung Darau dan Tapak Bina Hyatt Centric, Kota Kinabalu. – UTUSAN ONLINE