Ahmad Zahid boleh hadir mahkamah 6 September ini - Pakar - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid boleh hadir mahkamah 6 September ini – Pakar

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang doktor pakar memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi boleh menghadiri prosiding penghujahan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dijadualkan pada 6 September ini.

Pakar Perunding Sakit Intervensi, Hospital Pakar Avisena Shah Alam, Dr. Mohd. Shahir Anuar memberitahu demikian ketika menjelaskan keadaan kesihatan Presiden UMNO itu yang kini menerima rawatan selepas mengadu sakit di bahagian tulang belakang akibat terjatuh.

Sehubungan itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengekalkan tarikh penghujahan yang telah ditetapkan semalam selepas berpuas hati dengan penjelasan pakar berkenaan.

Hakim Collin mengeluarkan sapina terhadap Mohd. Shahir semalam agar beliau menjelaskan prosedur yang dijalankan ke atas tertuduh serta tempoh yang diperlukan untuk memastikannya benar-benar pulih untuk hadir pada prosiding akan datang.

Terdahulu, doktor pakar tersebut menjelaskan prosedur yang dijalankan terhadap Ahmad Zahid dan rekod perubatannya bagi membolehkan mahkamah mengetahui dengan lebih lanjut keadaan kesihatan beliau.

Menurut Mohd. Shahir, Ahmad Zahid boleh mengikuti prosiding tersebut namun perlu diberi kebenaran untuk merehatkan badannya setiap 45 minit kerana beliau tidak mampu duduk dalam tempoh yang lama ekoran kesakitan yang dialami.

Doktor pakar itu menjelaskan, walaupun Ahmad Zahid telah dimasukkan ke wad sejak Ahad lalu, prosedur itu hanya dapat dijalankan semalam kerana beliau mengambil ubat mencairkan darah dan pihaknya perlu menunggu selama tiga hari sebelum melakukannya.

Beliau turut menjelaskan, seperti pesakit-pesakit lain, Ahmad Zahid perlu menunggu selama empat hingga enam minggu sebelum benar-benar pulih selepas menjalani prosedur.

Menurut doktor pakar itu, selepas prosedur berkenaan, Ahmad Zahid boleh berjalan namun tidak boleh duduk atau berdiri terlalu lama kerana ia akan menambah kesakitan.

Mohd. Shahir turut memberitahu, Ahmad Zahid dimasukkan ke wad selepas tergelincir dan jatuh terduduk di bilik mandi di rumahnya pada 18 Ogos lalu.

Menurut beliau, pesakitnya itu pernah mengalami sakit di bahagian tengkuk dan torasik selain slip disc serta pernah menjalani pembedahan di Munich, Jerman.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran membangkitkan isu kehadiran Ahmad Zahid di Istana Negara pada 19 Ogos, sehari selepas kejadian tergelincir di bilik mandi seperti yang didakwanya.

Menurut pendakwa raya, beliau menonton majlis yang berlangsung hingga akhir yang menunjukkan tertuduh duduk sekurang-kurangnya selama sejam.

Raja Rozela kemudian mencadangkan bahawa Ahmad Zahid berpura-pura sakit kerana seluruh negara telah menyaksikan kehadiran beliau di Istana Negara yang menunjukkan beliau mampu berjalan dan duduk seperti biasa.

Namun demikian, Mohd. Shahir tidak bersetuju kerana sebagai doktor, beliau perlu mempercayai pesakit melainkan proses pengimejan resonans magnetik (MRI) tidak dilakukan terhadapnya.

Pada prosiding itu, pakar berkenaan turut memeriksa bangku kayu dalam kandang tertuduh dan berpendapat, kerusi itu tidak sesuai untuk diduduki oleh pesakit yang mengalami sakit belakang.

Semalam, mahkamah sepatutnya mendengar penghujahan kes Ahmad Zahid, 68, yang menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya