KOTA BHARU: Sikap gelojoh pemimpin politik yang tamak kuasa dan tidak sabar mahu mengambil alih tampuk pentadbiran negara dikhuatiri akan menyebabkan rakyat menjadi semakin sengsara.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pergolakan yang dicetuskan parti-parti politik kebelakangan ini tidak membantu meredakan ancaman Covid-19.
Sebaliknya kata beliau, kemelut demi kemelut yang dicetuskan itu merencatkan lagi perancangan disusun kerajaan bagi memerangi pandemik tersebut yang sudah berlarutan lebih setahun.
“Sepatutnya ahli-ahli politik perlu utamakan agenda yang lebih besar iaitu memerangi Covid-19, bukannya memikirkan kepentingan politik masing-masing. Akhirnya rakyat yang menanggung. Covid-19 ini bukan isu kecil tetapi isu global.
“Maka buat masa ini ketepikanlah dulu soal politik. Tunggu sahaja Perdana Menteri umum (perkembangan lanjut). Lagipun pilihan raya pun sudah tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu menyempurnakan Majlis Penyampaian Foodbank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gajah, di sini
Dalam perkembangan lain, Ahmad Marzuk berkata, kerajaan sedang melakukan rundingan dengan pihak berkuasa agama negeri-negeri berhubung isu kos pengurusan jenazah pesakit Covid-19 yang dikatakan membebankan waris si mati.
Katanya, caj dikenakan antara RM1,300 hingga RM1,800 sebagaimana didakwa tidak munasabah, lebih-lebih lagi ketika semua rakyat tanpa mengira latar belakang sedang terkesan dengan pandemik Covid-19.
“Bayaran itu pula bukan kos keseluruhan pengebumian, sebaliknya hanya membabitkan urusan memandikan jenazah menggunakan kaedah tayamum sebelum dikafankan sahaja, memang tidak munasabah,” katanya.










