KUALA LUMPUR: Beberapa ahli Dewan Negara melahirkan rasa kesal terhadap penangguhan sidang Dewan Negara yang dijadualkan bermula hari ini.
Senator Isa Ab Hamid (Wakil Orang Asli) berkata, terdapat pelbagai perkara yang tidak boleh dibangkitkan berikutan penagguhan itu.
“Satu kekesalan apabila mewakili masyarakat Orang Asli kerana banyak perkara yang tidak boleh dibangkitkan.
“Ini sangat mendukacitakan lebih-lebih lagi pandemik yang banyak memberi kesan kepada masyarakat termasuk Orang Asli,” katanya kepada pemberita di pekarangan bangunan Parlimen, hari ini.
Terdahulu, seramai 12 ahli Dewan Negara yang terdiri daripada lantikan Yang di-Pertuan Agung gung dan Dewan Undangan Negeri (DUN) menyerahkan surat memorendum kepada Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, melalui Setiausaha Dewan Negara, Muhd Sujairi Abdullah.
Hari ini, 3 Ogos sepatutnya menjadi hari pertama Sidang Khas Dewan Negara.
Sementara itu, Senator Ismail Yusop (Selangor) turut menyatakan rasa kesal kerana tidak dapat menyampaikan hasrat rakyat.
“Kami diberi ruang (dilantik) untuk berbahas dalam sidang Dewan Negara, malangnya kami tidak beri peluang,” katanya.
Dalam pada itu, Senator Senator Adrian Lasimbang (Sabah) menyatakan kekecewaan apabila tidak dapat membawa dan menyuarakan suara rakyat di Sabah.
“Banyak perkara yang harus dijawab oleh kementerian berkaitan dengan pemberian vaksin terutama di Sabah.
“Peluang kami untuk suarakan masyarakat di Sabah tidak dapat dibawa,” katanya. – UTUSAN ONLINE










