Acryl Sani, Zamrose ketuai 695 penerima Darjah Kebesaran Melaka

Acryl Sani, Zamrose ketuai 695 penerima Darjah Kebesaran Melaka

ACRYL SANI ABDULLAH SANI (kiri) dan ZAMROSE MOHD. ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain mendahului senarai penerima Darjah Kebesaran Negeri apabila dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk Seri.

Anugerah itu diberikan Sempena Hari Ulang Tahun ke-72 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Sementara itu, Darjah Cemerlang Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk Wira dianugerahkan kepada 14 penerima antaranya Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr. Noor Zari Hamat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Md. Rawi Mahmud.

Turut menerima darjah kebesaran yang sama ialah ADUN Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd. Rahman dan lagenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Ann.

Darjah Mulia Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk diberikan kepada tiga penerima iaitu Hakim Mahkamah Rayuan, Darryl Goon Siew Chye; Hakim Mahkamah Tinggi Melaka, Anselm Charles Fernandis dan Pengarah Eksekutif Perodua Auto Corp, Kazuyoshi Nagata.

Kerajaan negeri turut menganugerahkan Bintang Cemerlang Melaka kepada pemain badminton negara yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia Teng Fong dan Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia, Ahmad Janius Abdullah.

Seramai 695 penerima yang terdiri daripada anggota perkhidmatan awam negeri dan Persekutuan, ahli politik dan korporat, anggota pertubuhan bukan kerajaan, pengamal media, ahli-ahli badan sukarelawan serta kelab sukan akan menerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Sempena Hari Ulang Tahun Yang Dipertua Negeri.

Istiadat penganugerahan akan diadakan setelah Melaka memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sehubungan dengan itu, gelaran bagi Anugerah Darjah Kebesaran Negeri Melaka boleh digunakan oleh penerima manakala istiadat penganugerahan akan dizahirkan pada tarikh yang akan ditetapkan kelak mengikut PPN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN