95 peratus warga emas telah terima vaksin - Utusan Malaysia

95 peratus warga emas telah terima vaksin

RINA Mohd. Harun ketika mengadakan lawatan dan melihat pelaksanaan PPV Skala Sederhana di Pusat Keluarga LPPKN Negeri Sembilan di Seremban. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai tiga juta warga emas di negara ini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 daripada 3.15 juta warga emas yang mendaftar menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, jumlah itu sekali gus menyaksikan kira-kira 95 peratus warga emas daripada jumlah yang mendaftar telah menerima vaksin Covid-19 masing-masing.

“Warga emas yang mendaftar adalah seramai 3.15 juta orang, jika tiga juta sudah menerima vaksin, jadi sudah mencapai 95 peratus warga emas yang telah daftar telahpun menerima vaksin sekurang-kurangnya satu dos.

“Begitu juga dengan golongan OKU, yang telah mendaftar adalah seramai 454,000 orang dan daripada jumlah itu sebanyak 76 peratus golongan OKU ini telah menerima vaksin sekurang-kurangnya satu dos,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat program pelaksanaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Skala Sederhana di Pusat Keluarga, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut beliau, seramai 2.25 juta warga emas telah lengkap menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19 dan seramai 149,188 orang OKU juga telah lengkap menerimanya setakat ini.

“Ini merupakan perkembangan baik dan sudah pasti untuk kita menurunkan kadar jangkitan Covid-19, kita perlu percepatkan dan tambahkan lagi penerima vaksin setiap hari,” jelas beliau.

Rina sementara itu berkata, PPV Pusat Keluarga LPPKN Negeri Sembilan di sini merupakan satu-satunya PPV sederhana yang dijalankan oleh badan berkanun di negara ini.

“Ia telah bermula sejak 4 Ogos lalu dan sehingga hari ini seramai 600 orang telah menerima vaksin masing-masing, kapasiti di sini adalah sebanyak 200 dos setiap hari.

“Ini salah satu inisiatif pihak kementerian di bawah LPPKN, kita punya tenaga pakar, kami ada doktor dan jururawat. Ia salah satu usaha kami untuk bersama-sama pihak kerajaan mempercepatkan lagi proses pemberian vaksin kepada rakyat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN