80 peratus penduduk Kedah terima dos lengkap vaksin Oktober - Utusan Malaysia

80 peratus penduduk Kedah terima dos lengkap vaksin Oktober

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebanyak 80 peratus penduduk di negeri ini yang layak akan menerima dos lengkap vaksin menjelang hujung Oktober atau awal November depan bagi membina imuniti kelompok seterusnya menurunkan kes positif Covid-19.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pencapaian tersebut adalah berdasarkan kepada peningkatan bekalan vaksin yang diterima iaitu daripada 80,000 kepada 226,000 dos seminggu serta persiapan fasiliti bagi proses vaksinasi.

“Kita berharap program vaksinasi yang dipertingkatkan saban hari akan membina imuniti kelompok seterusnya menurunkan kes positif di Kedah.

“Imuniti kelompok itu secara tidak langsung mampu menyelesaikan kekurangan fasiliti rawatan di hospital-hospital yang dilaporkan pada ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya melalui Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) pada masa ini sedang mempersiapkan fasiliti yang lebih besar berikutan kejayaan memperoleh lebih banyak bekalan vaksin daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

“Salah satunya ialah membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi berskala mega di SP Sport Center yang berkapasiti 5,000 suntikan sehari dengan kerjasama PH Corp.

“Ia akan memulakan operasi pada Jumaat ini yang mana kerjasama ini menjadikan PPV mega ini sebagai PPV Integrasi terbesar di Kedah,” jelasnya.

Kata Muhammad Sanusi, kerja-kerja naik taraf juga akan dilakukan ke atas PPV awam di Dewan Kenangan Sungai Petani sebagai PPV Integrasi bermula 11 Ogos depan.

“PPV Integrasi Langkawi juga sedang beroperasi pada tahap maksimum pada waktu ini selain vaksinasi secara outreach di Bukit Malut dan Pulau Tuba,” jelasnya.

Tambahnya, selain PPV awam di klinik dan pusat kesihatan kerajaan, PPV integrasi, pusat kesihatan dan hospital swasta, Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) dijalankan di dua lokasi.

“Dua lokasi tersebut iaitu di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) dengan kapasiti 3,000 suntikan sehari dan Pikas Sungai Petani dengan kapasiti 5,000 suntikan sehari,” jelasnya.

Katanya, Pikas berikutnya yang menanti kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Mosti adalah di Jitra untuk menampung vaksinasi pekerja industri di Alor Setar dan Kubang Pasu.

“Selain Pikas, PPV awam dan integrasi, semua daerah di Kedah juga mula menggerakkan program vaksinasi secara outreach iaitu PPV bergerak ke kawasan komuniti luar bandar,” tambahnya.

Tambahnya, pihaknya juga akan meneliti cadangan pembukaan PPV Integrasi di lokasi lain yang bersesuaian bagi meningkatkan jumlah suntikan serta menaik taraf PPV awam kepada PPV integrasi supaya suntikan vaksin dapat dipertingkatkan kepada tahap maksimum.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN