KUALA SELANGOR: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Tanjong Karang, di sini ditutup mulai hari ini selepas seramai 66,000 penerima menerima vaksin Covid-19 di sana sejak dibuka selama dua bulan bermula 26 Jun lalu.
Berdasarkan jumlah penerima itu, kadar imuniti 80 peratus di kawasan itu sahaja dilapor sudah pun dicapai, sementara kadar bagi seluruh daerah Kuala Selangor mencapai 88 peratus membolehkan dua PPV di sana termasuk di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam ditutup.
Perkara itu dimaklumkan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar yang memberitahu, jumlah penerima seramai 66,000 adalah melebihi sasaran awal ketika PPV itu dibuka iaitu 40,000 penerima.
“Jadi bila kita bekerjasama sebagai satu pasukan, Alhamdulillah kita capai matlamat. Di Kuala Selangor sudah capai 88 peratus imuniti kelompok. Saya ingat Tanjong Karang pun sudah lebih.
“Kalau tengok sasaran hendak capai 80 peratus seperti yang dirancang kerajaan, Kuala Selangor sudah capai. Ini semua kerana kerjasama yang cukup baik, saya ucap terima kasih kepada kerajaan pusat dan negeri serta sukarelawan tempatan yang bekerjasama,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penutupan PPV itu di Institut Pengurusan Peladang (IPP) Sungai Kajang, hari ini.
Terdahulu, pembukaan PPV itu dirasmikan bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menerima cadangan Noh supaya kemudahan pemberian vaksin Covid-19 diwujudkan di sana.
Susulan itu, pada 15 Ogos angka penerima vaksin sudah pun mencecah 60,000 orang dan 28,721 daripadanya lengkap menerima dua dos.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor menyeru penduduk setempat yang masih belum mendapatkan vaksin boleh hadir ke Stadium Tertutup Kuala Selangor untuk menerima suntikan.
“Saya di Tanjong Karang ini sudah cuba sedaya upaya, kita pusing satu kawasan bawa siar raya untuk memberitahu orang ramai walk-in dibuka. Boleh walk-in dan sambutannya pun agak baik. Tetapi, saya tak tahu secara terperinci, yang pastinya sudah melepasi sasaran.
“Kalau yang tak dapat vaksin lagi, mana-mana yang tertinggal dalam Tanjong Karang boleh pergi ke Stadium Tertutup Kuala Selangor. Saya diberitahu, PPV di sana masih beroperasi sehingga September hadapan,” katanya.










