BUKIT MERTAJAM: Pasukan Bomba dan Penyelamat mengambil masa hampir lapan jam untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran melibatkan sebuah gudang menyimpan peralatan elektrik dan elektronik di Jalan Rozhan di sini.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran membabitkan sebuah bangunan dua tingkat berkeluasan kira-kira 2,000 meter persegi itu pukul 9.28 malam tadi.
Jelasnya, bangunan itu terdiri daripada tiga bahagian iaitu kawasan gudang seluas 836 meter persegi yang musnah sepenuhnya; pejabat (836 meter persegi) musnah 30 peratus dan tempat memuat barang (334 meter persegi) musnah 30 peratus.
“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 11.15 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 5.27 pagi tadi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut jurucakap itu, operasi tersebut melibatkan kira-kira 30 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam, Bandar Perda, Sungai Bakap dan Jalan Perak serta beberapa pasukan bomba sukarela berhampiran.
Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian yang dialami pemilik premis itu masih dalam siasatan manakala pasukan Unit Pengesan (K9) turut digunakan bagi membantu siasatan. – UTUSAN ONLINE









