ISKANDAR PUTERI: Kira-kira 779 guru di negeri ini yang dilaporkan menolak untuk menerima vaksin Covid-19 akan dibantu dengan diberi penerangan berkaitan kebaikan suntikan berkenaan kepada mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan membantu dalam perkara itu agar golongan guru terlibat yakin menerima vaksin kelak.
“Kerajaan negeri akan memanggil 779 guru yang menolak vaksin itu secara individu bagi diberi penerangan dan kaunseling supaya mereka faham kepentingannya, apatah lagi sesi persekolahan dijangka dibuka Oktober ini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Nor Hayati Bachok (Amanah-Maharani) berkenaan kadar vaksinasi guru di negeri ini pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, hari ini.
Semalam, akhbar ini melaporkan, daripada 48,008 guru yang berkhidmat di negeri ini, seramai 45,448 orang atau 96.26 peratus daripada mereka sudah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan.
Seramai 23,746 orang atau 50.29 peratus guru di negeri ini sudah lengkap kedua-dua dos suntikan vaksin dan bakinya iaitu seramai 1,767 orang guru atau 3.74 peratus masih belum divaksin termasuk yang menolak.
Sementara itu, Mazlan berkata, bagi anggota kumpulan pelaksana (AKP) pula, seramai 6,539 atau 91.43 peratus sudah menerima dos pertama dan seramai 2,816 pula atau 39.37 peratus sudah lengkap kedua-dua dos.
“Bagi staf sokongan operasi pula, seramai 9,236 atau 71.49 peratus sudah menerima dos pertama dan seramai 7,030 atau 54.42 peratus lagi sudah lengkap kedua-dua dos suntikan vaksin,” katanya.
Sementara itu, Mazlan berkata, JPNJ menyokong penuh kerjasama antara kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) bagi memastikan program vaksinasi mencapai 100 peratus.
Katanya, kerjasama itu membabitkan warga sekolah serta ibu bapa dan penjaga ketika pembukaan sesi persekolahan nanti.