PUTRAJAYA: Sebanyak 73.9 peratus penjawat awam di negara ini lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat 12 Ogos lalu.
Maklumat itu disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Siti Hamisah Tapsir kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman ketika lawatan pengoperasian Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) di Kompleks F, Putrajaya hari ini.
MOSTI dalam satu kenyataan memberitahu, struktur CITF menekankan kepada tindakan bersepadu pelbagai kementerian dan badan kerajaan bagi memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dapat dilaksanakan secara kemas, lancar dan teratur dalam mencapai objektifnya.
“Penubuhan CITF adalah berdasarkan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 20 Januari lalu bagi memastikan pengagihan vaksin dapat dibuat dengan sempurna.
“CITF bertindak sebagai jawatankuasa penyelaras dalam memantau rangka kerja dan strategi keseluruhan bagi menyokong pelaksanaan PICK,” katanya hari ini.










