56 pekerja asing merusuh positif Covid-19 - Utusan Malaysia

56 pekerja asing merusuh positif Covid-19

SEBUAH balai polis bergerak ditempatkan di pintu masuk sebuah hostel yang menempatkan pekerja warga asing di Pantai Puteri, Tanjung Kling, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai 74 pekerja sebuah kilang di Tangga Batu, dekat sini disahkan positif Covid-19, kata Pengerusi Jawatankuasa Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Melaka, Ramli Mohd. Ali.

Katanya, kilang tersebut diarahkan tutup dua minggu bermula 11 Ogos ini atas arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan dan kerajaan negeri.

Menurutnya, mereka yang positif itu adalah hasil ujian saringan yang dilakukan ke atas 1,105 pekerja termasuk 672 pekerja warga asing yang merusuh di sebuah hostel di Tanjung Kling di sini, baru-baru ini.

“Mereka yang positif terdiri daripada 56 pekerja asing dan 18 pekerja tempatan. Bagi pekerja tempatan, mereka kini menjalankan kuarantin di rumah masing-masing.

“56 pekerja warga asing pula telah dihantar ke sebuah hotel di Banda Hilir untuk dikuarantin,” katanya.

Ramli menambah, hostel yang menempatkan 672 pekerja asing itu kini dikawal ketat pihak polis bagi memastikan tidak ada yang keluar dari situ.

Utusan Malaysia difahamkan, hostel berkenaan menempatkan pekerja dari Bangladesh, Nepal, Myanmar, Vietnam dan Indonesia.

Sementara itu, seorang wakil syarikat yang enggan namanya disiarkan berkata, pihaknya akan menguruskan pemberian makanan dan minuman termasuk barangan keperluan lain kepada semua yang masih menginap di situ.

Dalam kejadian Rabu lalu, sekumpulan pekerja asing yang dipakaikan gelang merah jambu merusuh dengan bertindak membaling batu dan kayu kepada petugas kesihatan selepas tidak berpuas hati dengan kematian rakan mereka di hostel berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, tiga petugas dan seorang pengawal keselamatan kilang berusia 33 tahun, bagaimanapun sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN