56 ADUN Johor dapat RM8.4 juta - Utusan Malaysia

56 ADUN Johor dapat RM8.4 juta

HASNI MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor diberi peruntukan tambahan berjumlah RM150,000 lagi bagi membantu rakyat yang memerlukan di kawasan masing-masing.

Peruntukan keseluruhan yang turut melibatkan 27 ADUN pembangkang berjumlah RM8.4 juta itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, hari ini.

Hasni turut mengumumkan peruntukan tambahan kepada 27 Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas DUN (JPKD) masing-masing berjumlah RM100,000 bagi tujuan sama yang menjadikan jumlah keseluruhan RM11.1 juta.

“Peruntukan tambahan ini boleh digunakan bagi tujuan kebajikan dan kemaslahatan masyarakat di kawasan DUN Yang Berhormat sekalian,” katanya di sini.

Pada 29 Julai lalu, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM50,000 kepada semua 56 ADUN tanpa mengira pendirian politik mereka dan jumlah sama turut diberikan kepada 27 Pengerusi JPKD.

Dalam pada itu, Hasni berkata, ekonomi negeri diunjurkan bertambah sebanyak tiga hingga lima peratus berdasarkan unjuran di peringkat nasional yang telah dikemas kini oleh Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu tiga hingga empat peratus.

“Walaupun begitu, ekonomi Johor pada tahun ini kekal pada landasan pemulihan didorong oleh kadar vaksinasi negeri semakin meningkat, sekali gus membenarkan Johor untuk ke fasa-fasa berikutnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Oleh itu, sektor-sektor ekonomi yang dibuka semula secara beransur-ansur akan memulihkan sentimen isi rumah dan perniagaan. Malah, pakej rangsangan ekonomi (PRE) Ihsan Johor 1.0, 2.0 dan 3.0 telah berjaya memberikan sokongan aliran tunai khususnya kepada isi rumah dan perniagaan yang terjejas,” katanya.

Sementara itu, Hasni memaklumkan, kedudukan kewangan negeri berada pada tahap stabil dengan baki terkumpul Kumpulan Wang Disatukan iaitu rizab negeri berjumlah RM1.38 bilion, berdasarkan penyata kewangan pada 17 Ogos lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN