SHAH ALAM: Sebanyak 52.9 peratus atau 2.5 juta rakyat di Selangor sudah lengkap menerima dua dos vaksin sehingga semalam.
Berdasarkan statistik terkini pencapaian vaksinasi Covid-19, sejumlah 6.28 juta dos vaksin sudah diagihkan kepada penduduk negeri itu.
Jumlah itu merangkumi seramai 3.7 juta orang atau 79.4 peratus yang sudah menerima dos vaksin pertama.
Kesemua vaksin itu diagihkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) menerusi Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan program Selangor Vaksin (SelVAX).
Manakala, menerusi program SelVAX pula, tambahan suntikan vaksin melibatkan sebanyak 299,102 dos.
Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari menerusi laman Facebook (FB) rasminya berkata, pelaksanaan program SelVAX Komuniti turut memberi manfaat kepada seramai 250,000 orang yang belum mendapat vaksin.
“Usaha melengkapkan dan mempercepatkan proses vaksinasi rakyat itu adalah dengan mengenal pasti golongan sasaran. Program berkenaan akan memberi manfaat kepada 250,000 warga Selangor yang masih belum divaksin,” katanya.
Program SelVAX turut merangkumi SelVAX Industri yang melibatkan seramai satu juta pekerja di negeri ini.
Terdahulu, beliau memaklumkan program itu diteruskan untuk warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Ia merekodkan kehadiran warga emas, peniaga pasar pagi, pengasuh kanak-kanak, golongan B40 dan penduduk yang belum menerima suntikan vaksin Covid-19. Kerajaan negeri akan terus berusaha memastikan vaksinasi dapat disegerakan untuk warga Selangor sepantas mungkin,” katanya.
Program SelVAX Komuniti yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Rodziah Ismail turut mendapat reaksi positif orang ramai yang menyokong dan berpuas hati dengan kelancaran proses vaksinasi tersebut. – UTUSAN










