MELAKA: Seramai 48 individu terdesak mencari pekerjaan menjadi mangsa penipuan syarikat jualan dalam talian yang menawarkan peluang menjadi ejen tidak wujud sehingga menyebabkan kerugian hampir RM700,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintenden E. Sundra Rajan berkata, ia berdasarkan laporan polis yang diterima sejak Januari sehingga kelmarin membabitkan mangsa berusia antara 23 hingga 35 tahun.
Katanya, terbaharu seorang wanita berusia 23 tahun menjadi mangsa dan menanggung kerugian berjumlah RM8,000 selepas kononnya ditawarkan menjadi ejen pembelian yang membantu menaikkan rating peniaga kecil dalam talian dengan kaedah pembelian barangan syarikat terbabit.
“Pada 13 Ogos lalu, seorang wanita turut membuat laporan polis mendakwa mengalami kerugian RM8,000 selepas memasukkan wang tersebut ke dalam akaun diberikan suspek yang kononnya sebagai modal pembelian produk syarikat terbabit.
“Mangsa dijanjikan akan mendapat komisen sebanyak lapan peratus bagi penjualan setiap produk, namun pembayaran itu langsung tidak diterimanya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua kes tersebut membabitkan pengiklanan peluang pekerjaan menerusi laman sosial Facebook, Instagram, Telegram dan aplikasi WhatsApp.
“Modus operandi digunakan suspek adalah menawarkan pekerjaan sebagai ejen jualan dan pembelian dengan menjanjikan komisen lumayan antara lima hingga lapan peratus bagi setiap tugasan yang dibuat.
“Suspek juga turut menggunakan nama syarikat e-dagang terkenal termasuk Lazada dan Shopee untuk mengaburi penipuan mereka,” jelasnya.
Tambah beliau, orang ramai diingatkan sentiasa berhati-hati dengan tawaran kerja yang diiklankan di media sosial selain membuat semakan nombor telefon atau nombor akaun meragukan di laman web https://semakmule.rmp.gov.my/.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.