PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia akan menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM1,000 secara one-off kepada pengusaha spa dan pusat urutan kaki dalam menghadapi pandemik Covid-19.
Bantuan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) itu dijangka memberi manfaat kepada 433 pengusaha terbabit.
Kementerian itu menerusi kenyataan memaklumkan, pengusaha spa dan pusat urutan kaki berkenaan hendaklah bernaung di bawah persatuan yang diiktiraf iaitu Association of Malaysian Spas (AMSPA) dan Malaysian Association of Wellness & Spa (MAWSPA).
“Kita menyeru semua pengusaha terbabit yang layak untuk segera mengemukakan permohonan bantuan yang ditawarkan ini,” katanya.
Menurut kenyataan itu, borang permohonan secara dalam talian, syarat permohonan dan maklumat berkaitan boleh didapati di pautan http://www.motac.gov.my/PrihatinMOTAC21_Spa mulai esok.
“Tarikh tutup permohonan adalah pada 6 September depan,” jelasnya.