KULIM: Polis merampas 393 mesin melombong mata wang digital bitcoin dalam dua serbuan di Padang Serai dan Merbau Pulas di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Sazalee Adam berkata, hasil risikan sepasukan anggota polis bersama pasukan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) melakukan serbuan di dua premis tersebut secara serentak kira-kira pukul 2 petang.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di premis terbabit mendapati mesin bitcoin sedang beroperasi dan sindiket terbabit dikesan melakukan penyambungan haram pada kabel TNB untuk mencuri elektrik.
Katanya, sebanyak 200 mesin bitcoin itu dirampas di premis yang beroperasi di Padang Serai dan 193 mesin lagi di Merbau Pulas.
“Premis terbabit beroperasi sejak tujuh bulan lalu dan kegiatan sindiket itu mengakibatkan TNB mengalami kerugian kira-kira RM840,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, siasatan lanjut mendapati akaun TNB di premis berkenaan didaftarkan atas nama seorang lelaki tempatan.
“Pihak TNB mengambil tindakan memutuskan bekalan elektrik dan penyambungan haram di premis berkenaan dan semua mesin bitcoin dirampas,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 426 KK.