MARAN: Sebanyak 35 buah masjid dalam Felda Wilayah Jengka di sini mengambil inisiatif mengadakan majlis solat hajat, tahlil dan doa selamat sebagai tanda kesyukuran dengan pelantikan Datuk Seri Ismail Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Ia juga bagi menjujung kasih dan menzahirkan lafaz penghormatan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-raja Melayu melantik Ismail Sabri.
Pengerusi Badan Masjid Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, majlis berlangsung secara serentak selepas solat Maghrib malam semalam bagi mendoakan Perdana Menteri kesembilan mempunyai kekuatan minda dan fizikal memimpin negara.
Menurutnya, masyarakat peneroka Felda menyokong penuh pelantikan Ismail Sabri yang memiliki jiwa patriotik terhadap agama, bangsa dan negara.
“Jemaah masjid di Felda Wilayah Jengka berharap Perdana Menteri kesembilan lebih fokus menangani wabak Covid-19, mengukuhkan ekonomi dan mengurangkan persengketaan politik yang tiada kesudahan,” katanya di sini hari ini.
Razak yang juga Pengerusi Biro Sosial Gabungan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Wilayah Jengka yakin Perdana Menteri dapat memulihkan imej negara di mata dunia.
Menurutnya, masyarakat Felda juga menaruh harapan tinggi terhadap Perdana Menteri kesembilan mengembalikan kegemilangan Felda seperti dahulu.
“Antara keperluan segera, masalah kekurangan buruh asing di tanah rancangan menyebabkan sawit tidak dapat dituai sepenuhnya,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pelantikan Ismail Sabri daripada parti UMNO diibaratkan sebagai ‘sirih pulang ke gagang’.
Menurutnya, orang Melayu khususnya ahli UMNO mengharap ‘kunci pemerintahan’ digunakan dengan amanah dan berintegriti.










