IPOH: Seramai 3,000 penggiat industri pelancongan di Perak yang terdiri daripada kakitangan hotel, pemandu pelancong, pengusaha spa dan lain-lain telah menerima suntikan vaksin setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, berdasarkan data dikemas kini pihak Tourism Perak, terdapat lebih 5,000 orang terlibat di dalam industri pelancongan di negeri ini.
“Data yang telah dikemas kini oleh pihak Tourism Perak melalui bantuan daripada persatuan-persatuan yang terlibat dalam industri pelancongan sebanyak 5,000 nama telah diserahkan kepada kami dan 3,000 telah selesai divaksin.
“Jadi hanya tinggal 2,000 yang akan diserapkan dalam Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedia ada bagi membantu mempercepatkan proses vaksinasi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ketika sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini, hari ini.
Menurut Nolee, pelaksanaan program vaksinasi berkenaan bukan sahaja dapat membantu pengusaha pelancongan membuka semula perniagaan mereka malah mengembalikan keyakinan orang ramai untuk melancong.
“Pelaksanaan program vaksinasi ini saya percaya akan membantu para penggiat industri pelancongan membina semula semangat dalam memajukan sektor pelancongan apabila perniagaan mereka boleh dibuka semula secara sepenuhnya.
“Pada waktu yang sama ia akan mengembalikan keyakinan pengunjung terhadap sektor pelancongan khususnya di negeri Perak,” katanya.
Nolee juga turut memberi maklum balas cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu agar kerajaan negeri mewujudkan sebuah koperasi pelancongan di setiap daerah di Perak.
Katanya, kerajaan negeri belum bercadang untuk mewujudkan koperasi bagi menguruskan pelancongan di setiap daerah memandangkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta untuk mewujudkan unit pelancongan khas khusus di daerah masing-masing.
“Tetapi saya juga faham ada juga di kawasan tertentu terdapat produk pelancongan yang dikawal selia oleh PBT atau Pejabat Daerah dan Tanah, ada diberikan atau diurus oleh pihak koperasi yang datangnya dari orang tempatan.
“Saya akan lihat balik sama ada cadangan itu boleh kita laksanakan di peringkat daerah,” katanya.