200 penerima awal vaksin 'walk in' di PPV Movenpick, penerima sifatkan tepat pada masa - Utusan Malaysia

200 penerima awal vaksin ‘walk in’ di PPV Movenpick, penerima sifatkan tepat pada masa

SUKARELAWAN membantu orang ramai yang hadir secara walk-in di PPV Movenpick ketika tinjauan hari pertama inisiatif itu hari ini. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Rata-rata orang ramai menyifatkan konsep vaksin secara ‘walk in’ tepat pada masanya ketika angka jangkitan Covid-19 negara kini melonjak tinggi.

Salah seorang penerima vaksin, Mohd. Razef Mohamad, 43, berkata, peluang yang diberi itu sangat bagus kerana membolehkan vaksinasi dipercepatkan kepada semua golongan sasaran termasuk mereka yang terlepas janji temu sebelum ini.

“Jika diikutkan saya sudah dapat janji temu vaksin pada 18 Julai lalu tetapi perlu jalani kuarantin dan tamat pada 21 Julai, jadi saya terlepas mendapatkan vaksin.

“Apabila kerajaan buka konsep vaksin secara ‘walk in’ ini, saya tidak lepaskan peluang untuk mendapatkan vaksin memandangkan kes harian Covid-19 pun makin tinggi.

“Tambah pula saya bekerja sebagai pemandu lori dan berhadapan dengan orang ramai, jadi langkah yang disarankan kerajaan perlu diambil segera,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Movenpick di sini yang merupakan antara sembilan PPV terpilih sebagai pusat vaksinasi ‘walk in’.

Sementara itu, bagi ibu tunggal, Manja Salleh, 46, dia sebelum ini terpaksa melepaskan janji temu vaksin yang diperoleh di Sabak Bernam kerana tiada pengangkutan.

“Saya sudah dapat (janji temu) pada 28 Julai lalu, tapi tak dapat pergi. Apabila dibuka konsep vaksin secara ‘walk in’ ini, saya terus tidak lepaskan peluang untuk datang ke Movenpick sebab dekat dengan rumah,” katanya yang tinggal di Bandar Seri Ehsan KLIA.

Dalam pada itu, Ketua Penyelarasnya, Dr. Noraziah Abdul Karim berkata, inisiatif itu mendapat sambutan memberangsangkan kerana orang ramai sudah mula beratur pada 1 petang meskipun sesi hanya dibuka pada pukul 2 petang.

Menurut beliau, proses pendaftaran kira-kira 200 peserta berjalan dengan lancar dengan dibantu lebih 50 sukarelawan dan 40 pegawai perubatan termasuk vaksinator.

Katanya, fasa pertama pengambilan vaksin secara ‘walk in’ itu akan melibatkan kira-kira 1,000 individu warga emas dan golongan komorbid dalam tempoh tiga hari sehingga 4 Ogos ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya