19 individu ditahan terlibat judi dalam talian - Utusan Malaysia

19 individu ditahan terlibat judi dalam talian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menumpaskan satu sindiket perjudian selepas menahan 19 individu di lima unit apartment di USJ 21, dekat sini kelmarin.

Serbuan bermula 6.50 petang oleh sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya itu mendapati, unit kondominium tersebut dijadikan pusat panggilan yang menawarkan khidmat perjudian bagi pelanggan di tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Myanmar.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Amihizam Abdul Shukor berkata, turut dirampas dalam serbuan itu ialah 22 telefon bimbit dan peralatan elektronik lain.

Menurut beliau, pada mulanya, serbuan dilakukan di tingkat 31 kondominium berkenaan menahan empat lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan berusia 21 hingga 30 tahun.

Jelasnya, susulan itu, pihaknya turut merampas tiga unit komputer, enam telefon bimbit dan modem di unit kondominium berkenaan.

“Serbuan kedua pula dilakukan di tingkat 25 dan  kita menahan enam lagi individu terdiri tiga lelaki tempatan berusia 25 hingga 35 tahun bersama dua lagi lelaki dan seorang wanita warga Myanmar.

“Di kondominium kedua, kita merampas enam komputer, 12 telefon bimbit dan modem,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Subang Jaya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, bertindak atas maklumat serbuan kedua, empat lagi individu terdiri masing-masing  dua lelaki dan  wanita warga Myanmar diberkas di tingkat 20.

Tidak terhenti di situ, Amihizam berkata, serbuan susulan dilakukan di tingkat 23 dan menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 25 tahun.

“Serbuan terakhir di tingkat 12  menahan dua wanita dan seorang lelaki tempatan berusia 24 hingga 25 tahun serta merampas dua komputer, empat telefon bimbit dan modem.

“Siasatan awal mendapati pusat panggilan ini menawarkan khidmat judi dalam talian dengan menggunakan aplikasi Facebook dan Wechat,” jelasnya.

Mengulas mengenai modus operandi sindiket ini, Amihizam memberitahu, sindiket ini telah beroperasi selama dua bulan dengan keuntungan sebulan dianggarkan RM700,000.

Jelasnya, suspek yang bekerja sebagai operator akan menerima  bayaran gaji RM2,000 hingga RM4,000 sebulan.

“Kesemua suspek direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(a), 4(1)(c) dan 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana disyaki terbabit penganjuran judi dalam talian dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959 dan 1963 kerana dokumen perjalanan tamat tempoh,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN