PETALING JAYA: Seramai 18 individu termasuk empat warga asing yang leka berparti liar ditahan polis dalam serbuan di kondominium di Jalan Metro Prima Barat, Kepong dekat sini, awal pagi ini.
Kesemua individu berusia antara 19 tahun hingga 42 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah Sentul kira-kira pukul 1 pagi.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, ketika serbuan, kesemua mereka dipercayai sedang leka berhibur dengan muzik yang kuat dan minum minuman keras.
Katanya, siasatan mendapati seorang daripada mereka adalah penganjur yang mempromosikan parti tersebut di aplikasi WeChat.
“Setiap orang dikenakan bayaran RM150 bagi sewaan setiap bilik bagi tempoh tiga jam.
“Siasatan mendapati suspek mula menjalankan aktiviti ini sejak awal bulan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Eng Lai berkata, hasil saringan air kencing mendapati 12 daripada mereka positif amphetamine, methamphetamine dan ketamin manakala enam lagi negatif dadah.
Jelasnya, pihaknya turut menemukan satu paket berisi serbuk jenis MDMA seberat 27.5 gram.
“Kita akan mendapatkan perintah reman terhadap kesemua suspek bagi disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya dan dikompuan sebanyak RM4,000 seorang di bawah Peraturan 17, Peraturan- Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah- Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (PPN) 2021.
“Orang ramai diingatkan agar tidak terjebak dalam sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang dan SOP PPN ditetapkan kerajaan,” ujar beliau.- UTUSAN ONLINE










