15 individu, 15 hingga 22 tahun, ditahan buat parti tertutup, pil ekstasi sembunyi di dapur - Utusan Malaysia

15 individu, 15 hingga 22 tahun, ditahan buat parti tertutup, pil ekstasi sembunyi di dapur

ANGGOTA polis melakukan siasatan terhadap 15 individu yang terlibat dalam parti tertutup di sebuah inap desa di Jalan Suka Menanti, Alor Setar hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seramai 15 individu termasuk enam pelajar ditahan kerana terlibat dalam parti tertutup yang diadakan di sebuah inap desa di Jalan Suka Menanti di sini hari ini.

Kesemua mereka berusia antara 15 hingga 22 tahun itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dalam Op Private Party kira-kira pukul 3.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mereka dipercayai menyewa inap desa tersebut pada harga RM200 untuk mengadakan parti.

“Ketika parti itu berlangsung, mereka turut memasang muzik dengan kuat sehingga mengganggu ketenteraman penduduk di situ,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kata beliau, polis turut menemukan sepeket plastik lut sinar mengandungi empat biji pil berwarna ungu disyaki ekstasi.

“Pil tersebut disembunyikan di bahagian dapur rumah tersebut,” jelasnya.

Menurutnya, lima daripada individu ditahan termasuk dua remaja perempuan berusia 15 dan 19 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kesemua yang ditahan turut dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) disebabkan gagal menjaga penjarakan fizikal ketika berada di lokasi tersebut.

“Kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan 16 Akta 342 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 1988,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN