KEPALA BATAS: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) terpaksa menutup operasi Pasar Awam Kepala Batas selepas 14 kes positif Covid-19 membabitkan lima peniaga serta sembilan pekerja dikesan di situ hingga hari ini.
Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, penutupan operasi itu dibuat tiga hari atau sehingga dimaklumkan semula bermula Rabu ini.
Katanya, MBSP bagaimanapun boleh membenarkan peniaga dan pekerja yang berkenaan membuka semula perniagaan mereka sekiranya telah selesai menjalani Ujian Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT PCR) dan ujian Kit Ujian Pantas (RTK Antigen) serta disahkan negatif dalam kedua-dua ujian berkenaan.
“Ujian swab itu hendaklah dibuat mulai hari ini (9 Ogos) dan hanya peniaga yang disahkan negatif sahaja dibenarkan masuk berniaga semula mulai 14 Ogos depan atau pada tarikh lain yang ditentukan kelak.
“Tarikh lain itu bagaimanapun hanya akan diberi jika tempoh penutupan sementara ini dilanjutkan oleh PKD SPU (Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara) dengan mengemukakan bukti saringan yang telah dibuat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini, enam buah pasar awam di Seberang Perai iaitu di Bagan Ajam; Bukit Mertajam; Chai Leng Park; Mak Mandin, Seberang Jaya dan Taman Sri Rambai terpaksa ditutup buat sementara waktu gara-gara penularan jangkitan Covid-19. – UTUSAN ONLINE