MELAKA: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) akan mengadakan misi bantuan berskala besar ke Sabah dan Sarawak dengan membawa 10,000 kotak makanan bersama kakitangan perubatan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sani Araby Al Kahery berkata, misi ‘ummah bantu ummah’ itu memfokuskan bantuan untuk meringankan beban semua individu terjejas dan tidak hanya tertumpu kepada golongan asnaf.
Katanya, ia dijangka dihantar dan diagihkan bermula bulan depan, bergantung kepada persetujuan kerajaan negeri dan situasi semasa pandemik Covid-19.
“Mapim akan membawa sumbangan dan amanah yang diberikan orang ramai untuk menyantuni penduduk di Sabah dan Sarawak termasuk para peniaga yang terkesan teruk akibat pandemik.
“Misi ini turut melibatkan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan kakitangan perubatan untuk menyediakan kemudahan diperlukan bagi meringankan beban masyarakat di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program penyerahan makanan kepada Zoo Melaka yang diwakili Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman di Zoo Melaka, Ayer Keroh di sini hari ini.
Turut hadir ialah penceramah, Prof. Madya Dr. Mohd. Izhar Ariff dan selebriti, Zizan Razak.
Pada program berkenaan, Mapim menyerahkan sebanyak 95 kotak makanan kepada kakitangan Zoo Melaka dan membawa bekalan sayur serta buah seberat lima tan bagi haiwan di pusat konservasi hidupan liar itu.
Mengulas lanjut, Sani Araby menambah, pihaknya juga sedang melipatgandakan usaha untuk mengagihkan bantuan ke negeri lain termasuk Johor, Kelantan dan Pahang.
“Pada tahun lalu sebanyak 40,000 kotak makanan telah disampaikan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia.
“Pada tahun ini pula, kita sedang membentuk lebih ramai sukarelawan untuk misi di dua negeri pantai timur dan setakat ini lebih 10,000 kotak makanan dan beberapa bantuan lain termasuk kerusi roda telah diberikan,” jelasnya.