YAN: Seramai 1,000 penunggang motosikal di sekitar kampung yang terlibat dalam tragedi kepala air di Gunung Jerai menerima sumbangan petrol percuma di sebuah stesen minyak di pekan ini, hari ini.
Program Minyak Petrol Percuma untuk mangsa tragedi itu dianjurkan Dewan Pemuda Pas Kedah.
Ketuanya, Nurul Amin Hamid berkata, sumbangan petrol percuma itu bertujuan meringankan beban mangsa tragedi itu mengisi petrol motosikal untuk bergerak menyelesaikan urusan mereka.
“Setiap penunggang motosikal mengisi petrol antara RM3 hingga RM10,” katanya di sini hari ini.
Yang hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerai, Sabri Azit yang meluangkan masa mengisi petrol motosikal penduduk yang menerima sumbangan petrol percuma itu.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya memberikan sumbangan barangan dapur kepada penduduk yang singgah mengisi minyak di stesen minyak tersebut.
“Mereka turut mengadakan gotong-royong mencuci rumah penduduk dan membaik pulih paip bekalan air masyarakat yang rosak di empat buah kampung terlibat. – UTUSAN ONLINE