Yayasan Sofa korban 120 lembu, 85 kambing tahun ini - Utusan Malaysia

Yayasan Sofa korban 120 lembu, 85 kambing tahun ini

SEORANG petugas Yayasan Sofa (kiri) menyerahkan daging korban kepada anggota bomba pada program korban yayasan tersebut sempena sambutan Aidiladha sebelum ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan menjadi penghalang buat Yayasan Sofa untuk meneruskan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Ketua Pegawai Operasi Dana, Yayasan Sofa, Mohd. Hanif Hamid berkata, penganjuran ibadah Korban As-Sofa bermula pada 1998 dengan anggaran keseluruhan hampir satu juta penerima di seluruh negara mendapat manfaat daripada program tersebut.

Menurutnya, selain menghidupkan syiar Aidiladha, korban Yayasan Sofa bertujuan membantu golongan memerlukan dan institusi tahfiz terpilih yang terdapat di seluruh negara.

“Pada tahun ini sebanyak 120 ekor lembu dan 85 ekor kambing korban diterima oleh Yayasan Sofa dan jumlah berkenaan melebihi sasaran Yayasan Sofa dalam penganjuran tahun ini iaitu hanya sekitar 100 ekor lembu.

“Pihak kami menganggarkan sebanyak 15,000 penerima terdiri daripada golongan terkesan akibat Covid-19, golongan asnaf, fakir dan miskin, warga emas, tahfiz terpilih seluruh negara dan individu barisan hadapan negara akan mendapat manfaat menerusi Qurban Plus ini,” katanya ketika dihubungi sempena ‘Qurban Plus As Sofa 1442H’, di sini.

Mohd. Hanif berkata, program dengan tema ‘Qurban Plus As Sofa 1442H’ berkenaan ditutup pada 8 Julai lalu bagi melancarkan proses pendaftaran dan kelulusan haiwan korban mengikut semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

Menurutnya, proses sembelihan binatang korban akan dilaksanakan di 22 buah lokasi penyembelihan sama ada di pusat sembelihan berdaftar atau masjid mengikut kapasiti yang dibenarkan iaitu di Kelantan, Kedah, Melaka, Perak, Johar, Pulau Pinang dan Terengganu.

“Agihan pula akan dibuat di lebih 82 lokasi seluruh negara yang telah dikenal pasti dengan bantuan wakil penduduk, ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan wakil pelaksana di seluruh negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN