Yayasan pendidikan India Perak nafi dakwaan ladang dijual - Utusan Malaysia

Yayasan pendidikan India Perak nafi dakwaan ladang dijual

S. MUNUYANDI (tengah) pada sidang akhbar berkaitan status Ladang Kalvi di Gunung Besout, Sungkai yang dikatakan telah dijual atau dipindah milik di Ipoh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Yayasan Pembangunan Pendidikan India Negeri Perak (YPPINP) menepis dakwaan bahawa Ladang Kalvi di Gunung Besout, Sungkai telah dijual atau dipindah milik kepada pihak lain.

Pengerusi Lembaga Pengarah YPPINP, S. Munuyandi berkata, tanah pertanian seluas kira-kira 800 hektar bagi tanaman kelapa sawit itu masih milik YPPINP sejak ia diserahkan oleh kerajaan negeri pada 2010.

Katanya, tanah tersebut bagaimanapun telah dikaviet dan tiada sebarang urusan boleh dilakukan termasuk memindah milik atau menjual kepada pihak lain.

“Spekulasi yang mengatakan tanah itu milik satu parti (politik) dan dirampas (dipindah milik) kepada individu adalah tidak benar sedangkan ia adalah milik YPPINP.

“Kami tidak tahu tujuan berita palsu itu disebarkan namun percaya ia dilakukan atas kepentingan pihak tertentu,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat YPPINP di Medan Istana di sini hari ini.

Menurut Munuyandi, tanah itu pada mulanya diletakkan sementara di bawah Yayasan Perak dan diserahkan kepada YPPINP pada 2013.

Katanya, YPPINP juga telah membayar premium tanah berjumlah RM60,938 kepada Pejabat Tanah dan Daerah Tapah.

“Tanah itu dikendalikan Koperasi Kebangsaan Permodalan Tanah Berhad (NLFCS) untuk penanaman kelapa sawit di mana pihak tersebut turut menyediakan pinjaman berjumlah RM18 juta dan tenaga pakar.

“Berdasarkan perjanjian, keuntungan yang diperoleh akan dibahagikan di mana 50 peratus kepada YPPINP manakala 50 peratus lagi untuk bayaran pinjaman balik kepada NLFCS,” katanya.

Tambah beliau, keuntungan daripada ladang itu akan menjadi milik penuh YPPINP dan disalurkan kepada sekolah tamil dan pelajar India miskin di negeri ini selepas pinjaman dengan NLFCS dilangsaikan.

Katanya, dijangka bantuan itu dapat disalurkan mulai tahun hadapan.

“Tanah ini telah dikaviet jadi sudah tentu ia tidak boleh dijual atau dipindah milik. Tanah ini hanya boleh digunakan bagi menjana keuntungan di mana ia akan disalurkan kepada sekolah tamil dan pelajar India miskin di negeri ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya