PETALING JAYA: Tiada arahan dikeluarkan terhadap lima Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menandatangani Akuan Berkanun (SD) untuk menyatakan penolakan sokongan terhadap Mohd. Shukri Ramli sebagai Menteri Besar Perlis.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu akan terlebih dahulu mendengar penjelasan semua wakil rakyat terlibat untuk mengetahui kedudukan sebenar isu itu.
Katanya, Bersatu hanya menyembah maklum nama calon Menteri Besar dari parti itu selepas dititah oleh Istana Perlis untuk berbuat demikian.
“Saya ingin menegaskan Perikatan Nasional (PN) menghormati kuasa budi bicara Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail dan menjunjung Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis dalam pelantikan Menteri Besar.
“PN menghormati kedudukan Pas sebagai parti yang memimpin PN di Perlis. Saya berharap isu berkaitan kedudukan Menteri Besar Perlis dapat diselesaikan dalam semangat keluarga besar PN.
“Saya yakin bahawa parti-parti anggota PN mempunyai kaedah masing-masing untuk menguruskan sebarang isu yang berbangkit dengan berhemah demi menjamin kestabilan dan kelangsungan pentadbiran PN di Perlis,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kelmarin, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perebutan jawatan dan desakan kepentingan tertentu menjadi punca kemelut politik Perlis sehingga menyaksikan Mohd. Shukri meletak jawatan Menteri Besar.
Katanya, keengganan Mohd. Shukri tunduk kepada tekanan itu menyebabkan beliau dizalimi dan bukannya berlaku zalim walaupun pentadbirannya diterima rakyat serta dilihat memerintah dengan adil dan berintegriti.
Krisis politik di Perlis bermula selepas wujud gerakan lima ADUN Bersatu dan tiga daripada Pas menarik sokongan terhadap Mohd. Shukri.
Susulan itu, tiga ADUN Pas terlibat terhenti keahlian serta-merta dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan kemudian mengumumkan kekosongan luar jangka kerusi Chuping, Bintong dan Guar Sanji.-UTUSAN










