Wanita Indonesia didenda RM14,000 miliki, guna MyKad palsu - Utusan Malaysia

Wanita Indonesia didenda RM14,000 miliki, guna MyKad palsu

WANITA warga Indonesia, Ziehara Toding, 22, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Georgetown, Pulau Pinang atas dua pertuduhan memiliki dan menggunakan kad pengenalan (MyKad) palsu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seorang wanita warga Indonesia berusia 22 tahun didenda sebanyak RM14,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan memiliki dan menggunakan kad pengenalan (MyKad) palsu.

Tertuduh, Ziehara Toding yang merupakan pekerja sosial di sebuah motel di sini membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret R. Manomani.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang sudah menetap di negara ini kira-kira lima tahun itu didakwa menggunakan aplikasi MySejahtera atas identiti orang lain iaitu MyKad bernombor 930430-12-5788 atas nama Norsyarifah Musin.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dijatuhkan hukuman denda RM6,000 dan tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja memiliki MyKad bernombor 930430-12-5788 atas nama Ziehara Boisi sebagai dokumen pengenalan dirinya.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di alamat 1-17-04, Desa Pinang 2, Lebuh Sungai Pinang di sini antara pukul 12.30 tengah hari dan 2.30 petang pada Sabtu lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dijatuhkan hukuman denda RM8,000 dan empat bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah peraturan sama.

Kes dikendalikan Pegawai pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara, Azry Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu bercakap kepada pemberita di pekarangan mahkamah, Pengarah JPN negeri, Nur Zulfa Ibrahim berkata, kes tersebut termasuk 11 kes yang dituduh pihaknya di mahkamah sepanjang tahun ini membabitkan kesalahan MyKad palsu.

Ujarnya, jumlah itu meningkat berbanding hanya sembilan pertuduhan membabitkan kes sama sepanjang tahun lalu.

Jelas beliau, sepanjang tahun lalu sehingga Jun tahun ini juga, pihaknya menahan seramai 25 individu bersabit kesalahan MyKad palsu menerusi 21 operasi yang dijalankan.

“Daripada jumlah itu, 16 yang ditahan merupakan warga asing manakala sembilan lagi ialah rakyat tempatan yang antaranya melibatkan kesalahan seperti pendaftaran palsu untuk sijil kematian,” katanya.

Dalam pada itu tambah beliau, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras sindiket pengeluaran MyKad palsu di negeri ini dan memohon mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan itu menyalurkan kepada pihaknya menerusi pelbagai saluran yang disediakan. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya