Kasi bayi minum racun, suami isteri dicekup polis - Utusan Malaysia

Kasi bayi minum racun, suami isteri dicekup polis

TANGKAP layar video tular di Facebook yang memaparkan perlakuan lelaki yang mendakwa memberi minum racun kepada isteri, anak serta dirinya. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polis menahan pasangan suami isteri di daerah ini bagi membantu siasatan selepas satu video tular di Facebook memaparkan perlakuan seorang lelaki yang melahirkan rasa tidak puas hati kepada pemimpin kerajaan dalam menangani Covid-19.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, video berdurasi 16 minit tiga saat itu turut memaparkan perlakuan lelaki tersebut yang mendakwa memberi minum racun kepada isteri, bayi berusia sembilan bulan serta dirinya sendiri sebagai salah satu cara untuk mengawal tekanan.

“Satu laporan polis diterima berkaitan video yang tular itu kerana boleh menjadi ikutan dan dorongan yang tidak baik dalam masyarakat dan unsur penganiayaan terhadap kanak-kanak.

“Hasil semakan lanjut mendapati kejadian tersebut berlaku di kawasan Seremban,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Said, susulan laporan itu polis menahan pasangan suami isteri tersebut yang masing-masing berusia 29 tahun di sekitar Seremban.

“Suspek lelaki ditahan pada pukul 10.50 malam semalam manakala isterinya ditahan pada pukul 3.15 pagi tadi.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan dalam video yang tular itu turut menunjukkan bayi mereka yang berusia sembilan bulan,” katanya.

Jelas Mohd. Said, pihak polis menasihatkan masyarakat agar tidak mengambil apa-apa tindakan yang boleh mencetuskan ketidaktenteraman awam kerana boleh diambil tindakan dibawah undang-undang.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Video yang tular di Facebook itu menunjukkan pasangan suami isteri dan anaknya berada dalam sebuah kereta melahirkan rasa tidak puas hati dengan keadaan semasa Covid-19 serta menunjukkan perlakuan mereka meminum air daripada botol dipercayai racun dengan anak diberikan minuman sama menggunakan picagari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya