[VIDEO] ‘Ribut datang macam tsunami kecil’ - Utusan Malaysia

[VIDEO] ‘Ribut datang macam tsunami kecil’

SHAZRUL Faiza Nat Noor menunjukkan kereta Perodua Myvi miliknya yang rosak teruk selepas dihempap pokok dalam kejadian di Kampung Teluk Jeri Luar di Kota Tinggi, Johor. -UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kejadian ribut yang melanda tujuh buah kampung di Tanjung Sedili di sini susulan hujan lebat lebih dua jam berserta angin kencang yang bertiup ‘ganas’ merosakkan sebanyak 291 buah rumah.

Tinjauan Mingguan Malaysia di beberapa lokasi terjejas termasuk di Kampung Teluk Jeri Luar mendapati, kawasan itu penuh dengan serpihan binaan rumah terutamanya bahagian bumbung yang tercabut ekoran bencana itu.

Malah, beberapa buah kereta juga didapati rosak teruk akibat dihempap selain kedai yang diusahakan penduduk turut ranap sama sekali sehingga ada yang menggambarkan kejadian itu seperti tsunami kecil.

MASTURA Abidin dan anaknya membersihkan kawasan kedai yang musnah akibat dilanda ribut di Kampung Teluk Jeri Luar di Kota Tinggi, Johor. -UTUSAN/MASTURAH SURADI

Mastura Abidin, 50, yang menjalankan perniagaan menjual minyak petrol di gerainya kini tidak dapat beroperasi lagi apabila premis separa kekal itu musnah sama sekali akibat dilanda ribut.

“Saya anggap ribut berlaku ini umpama tsunami kecil. Tidak pernah berlaku seteruk ini, tiap-tiap tahun ada angin tapi tidak kuat sangat hingga habis kedai musnah serta pokok-pokok tumbang. Macam tidak percaya angin seperti itu ada di kawasan ini.

“Masa kejadian saya berada di Felda Aping, Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu yang bimbangkan keadaan anak di kedai. Anak beritahu saya dia tak sempat berlari ke rumah datuknya kerana angin sangat kuat dan takut hendak keluar serta hanya mampu menyorok di lantai.

“Saya bersyukur kerana anak, Mohammad Fahrin Rosli, 11, dan anak saudara, Adam Mukriz Abdullah, 9, sempat menyelamatkan diri ketika berada di kedai tersebut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

GERAI milik Mastura Abidin yang turut terjejas akibat kejadian ribut. – VIDEO/MASTURAH SURADI

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang semalam, tujuh kampung yang terjejas antaranya adalah Kampung Teluk Jeri Luar, Kampung Teluk Jeri Dalam, Kampung Tanah Putih dan Kampung Sri Gading.

Lebih 20 pokok tumbang sehingga menutupi laluan jalan raya namun tiada kecederaan melibatkan mangsa dilaporkan, bagaimanapun dua pusat pemindahan sementara (PPS) di buka di Tanjung Sedili.

Sementara itu, bagi lima beradik di kampung sama, mereka hanya mampu berpelukan antara satu sama lain serta melaungkan azan ketika kejadian ribut yang turut merosakkan kereta Perodua Myvi akibat dihempap pokok kelapa.

Shazrul Faiza Nat Noor, 33, berkata, cuaca ketika kejadian amat gelap dan nampak amat-amat berbeza berbanding hari biasa apabila hujan sangat lebat beserta angin di sekitar kawasan rumah mereka.

SHAZRUL Faiza Nat Noor menunjukkan kereta Myvi miliknya yang dihempap pokok dalam kejadian ribut di di Kampung Teluk Jeri Luar di Kota Tinggi, Johor. – VIDEO/MASTURAH SURADI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN