[VIDEO] CAAM siasat helikopter ‘nasi ganja’ - Utusan Malaysia

[VIDEO] CAAM siasat helikopter ‘nasi ganja’

PESANAN nasi ganja yang dimuatkan dalam helikopter yang mendarat di Padang Ipoh. - UTUSAN/GAMBAR IHSAN AWANI PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memulakan siasatan ke atas helikopter Bell 505 dikendalikan syarikat Systematic Aviation Services Sdn. Bhd. (SAS) yang mendarat di padang Majlis Bandaraya Ipoh, Ipoh, Perak pada pukul 10 pagi semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kapten Chester Voo berkata, siasatan awal mendapati helikopter tersebut berlepas pada pukul 9:08 pagi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang ke Ipoh dan kembali ke Subang pada pukul 11:02 pagi seperti yang difailkan dalam pelan penerbangan.

HELIKOPTER yang dikatakan mendarat di Padang Ipoh bagi mengambil pesanan nasi ganja. – VIDEO IHSAN AWANI PERAK

Menurut beliau, CAAM menjalankan siasatan segera bagi menentukan sama ada helikopter berkenaan melanggar mana-mana peraturan seperti yang tertakluk dalam Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 dan Civil Aviation Directives (CADs).

“CAAM juga membuat semakan sama ada pengendali dan kru pengendali helikopter terlibat melaksanakan operasi penerbangan itu dalam skop yang diluluskan atau sebaliknya.

“CAAM ingin menegaskan bahawa semua pengendali pesawat harus mematuhi peraturan umum seperti tertakluk dalam CAD 2 (Rules of the Air), Chapter 3.1. Protection of Persons and Property serta peraturan-peraturan lain yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Chester berkata, CAAM akan terus memastikan semua pengendali pesawat mematuhi peraturan dan piawaian keselamatan yang ditetapkan demi keselamatan industri dan orang awam.

Semalam, sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja yang ditempah pelanggan dari Kuala Lumpur di sebuah kedai menjual nasi kandar terkemuka di bandar raya itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid mengesahkan helikopter tersebut hanya mendapat kebenaran mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya