DUNGUN: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) membabitkan kesemua 70,000 penduduk di wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dijangka selesai akhir bulan depan.
Pengerusi Ketengah, Datuk Razali Idris berkata, setakat ini seramai 51,953 penduduk yang layak didaftarkan untuk menerima suntikan vaksin berkenaan.
“Daripada jumlah itu, seramai 10,700 orang sudah divaksin di lapan pusat pemberian vaksin (PPV) Outreach yang digerakkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau PPV Outreach di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besi di sini, hari ini.
Razali turut mencadangkan agar balai orang ramai di Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) dijadikan sebagai PPV tetap untuk pelaksanaan program suntikan vaksin secara harian.
Katanya, proses vaksinasi di wilayah Ketengah perlu disegerakan sebelum musim tengkujuh memandangkan lebih 60 peratus kawasan di situ sering dilanda banjir saban tahun. – UTUSAN ONLINE