SHAH ALAM: Tindakan merakam video ketika menerima suntikan vaksin Covid-19 bukanlah bertujuan mencari kesalahan petugas, sebaliknya memastikan penerima benar-benar menerima suntikan.
Rakaman itu dibuat seorang penerima, Muhammad Izzuwan Shamshuddin, 23, memaklumkan rakaman video dibuat sebagai tanda berwaspada susulan terdapat beberapa kes suntikan angin yang berlaku di beberapa buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Saya bukannya nak cari kesalahan petugas kesihatan, cuma nak pastikan vaksin itu masuk ke dalam badan.
“Alhamdulillah, saya ok sepanjang tempoh pemerhatian dan terima kasih kepada petugas kesihatan yang suntik tadi,” katanya ketika ditemui di PPV Institut Pengajian Tinggi (PPV IPT) Mega di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.
Minggu lalu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin membenarkan orang awam untuk merakam video ketika mereka menjalani proses vaksinasi.
Beliau berkata, kerajaan membenarkan tindakan itu dibuat bagi memastikan petugas kesihatan benar-benar menyuntik vaksin berkenaan kepada penerimanya.
Sementara itu, bagi Luqman Hakim Suhaimi, 21, rakaman video itu merupakan salah cara untuknya mempromosikan kepada orang awam supaya segera mendapatkan vaksin.
Ujarnya, rakyat Malaysia terutama sekali golongan belia lebih tertarik dengan penyaluran apa-apa info melalui media sosial.
“Jadi bagi saya, tidak salah untuk sesiapa merakam video ketika menjalani proses terbabit.
“Selain itu, mereka boleh mengabadikan saat-saat mereka dicucuk kepada anak serta cucu, ” ujarnya.
Dalam hal berlainan, seorang warga emas, Kathy Chong, 61, bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk membenarkan penduduk Lembah Klang menerima vaksin secara ‘walk-in’ mulai bulan hadapan.
Menurutnya, langkah tersebut mampu mempercepatkan hasrat kerajaan supaya imuniti kelompok dapat diperoleh menjelang akhir tahun ini.
“Namun saya minta kerajaan supaya mengehadkan jumlah kehadiran penerima vaksin di sesebuah PPV dalam satu-satu hari.
“Sekiranya terlalu ramai penerima di sesebuah pusat itu dikhuatiri akan menyebabkan perkumpulan orang awam dan boleh mengakibatkan jangkitan Covid-19 berlaku,” katanya yang menerima dos kedua hari ini. – UTUSAN ONLINE