KANGAR: Kemelut politik di Perlis dijangka tidak akan reda dalam masa terdekat yang mana sehingga kini belum ada sebarang perkembangan mengenai proses pelantikan Menteri Besar baharu.
Setakat ini, pihak istana belum mengeluarkan kenyataan selepas Mohd. Shukri Ramli meletakkan jawatannya Khamis lalu.
Tumpuan terarah kepada istana dengan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail akan menggunakan kebijaksanaan baginda memilih Menteri Besar baharu menggantikan Mohd. Shukri, sekali gus menamatkan kemelut politik itu.
Difahamkan Pas sudah mengemukakan dua calon iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan, Muhammad Azmir Azizan dan Asrul Aimran Abd. Jalil (Kayang) manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyerahkan tiga nama iaitu Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi) dan Megat Hashirat Hassan (Pauh).
Sumber memaklumkan kepada Mingguan Malaysia, Raja Perlis sudah pastinya akan meneliti calon-calon yang telah dikemukakan seterusnya membuat keputusan serta pertimbangan terbaik demi kepentingan rakyat dan kestabilan negeri ini.
Sumber dari Perikatan Nasional (PN) itu melihat, proses pelantikan Menteri Besar berkemungkinan selesai seawal-awalnya minggu depan atau memerlukan tempoh masa lebih panjang.
Katanya, apa juga keputusan Tuanku Syed Sirajuddin dalam soal pelantikan perlu diterima termasuk jika Menteri Besar itu daripada Bersatu.
“Sebelum ini, Pas telah diberi peluang sebagai Menteri Besar, namun dilihat gagal sepanjang tiga tahun pentadbiran dan mungkin peluang diberikan pula kepada calon dari Bersatu,” katanya.
Dalam pada itu, persoalan siapa Menteri Besar baharu Perlis terus menarik perhatian ramai dengan Abu Bakar daripada Bersatu merangkap Timbalan Pengerusi PN negeri turut menjadi nama disebut-sebut dilantik jawatan berkenaan.
Abu Bakar menjadi salah satu pilihan berikutan prestasinya yang baik sebagai exco dan wakil rakyat di Kuala Perlis, selain mempunyai kedudukan yang kukuh dalam Bersatu dan PN.
Dalam pada itu, kata sumber daripada Bersatu kepada Mingguan Malaysia, lima ADUN dari parti itu yang menarik sokongan kepada Mohd. Shukri tidak melakukan sebarang kesalahan atau pengkhianatan, sebaliknya hanya ingin memastikan pentadbiran negeri lebih baik dengan pertukaran Menteri Besar.
Katanya, pengkhianatan jika ADUN Bersatu termasuk tiga dari Pas menyokong pihak lawan, namun mereka hanya mahu menukar Menteri Besar dengan calon dalam kalangan ADUN PN sendiri.
“Saya yakin, Bersatu pusat tidak akan mengambil tindakan terhadap lima ADUN Bersatu ini kerana mereka bukan melakukan kesalahan. Mustahil sekiranya isu Menteri Besar itu tidak diketahui kepemimpinan Pusat dua parti.
“Malah, tindakan Pas terhadap tiga ADUN yang digugurkan keahlian dan dikosongkan kerusi juga dilihat tidak wajar dan sepatutnya rujuk terlebih dahulu Undang-undang Tubuh Negeri antaranya seseorang Ahli Dewan Negeri tidak terhenti menjadi Ahli Dewan Negeri hanya disebabkan oleh pemecatannya daripada keanggotaan dalam parti politiknya.
“Kemelut yang berlaku secara tidak langsung berkemungkinan menjejaskan sedikit hubungan antara Pas dan Bersatu, namun selepas pelantikan Menteri Besar baharu, hubungan tersebut akan perlahan-lahan baik. Ia mungkin mengambil sedikit masa,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan masih menunggu sama ada tindakan bakal dikenakan ke atas ADUN Bersatu yang terlibat dalam gerakan menjatuhkan Mohd. Shukri.
Katanya, Bersatu perlu membuat ketetapan berhubung perkara itu sebelum pihaknya menyerahkan notis rasmi kekosongan tiga kerusi DUN kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) minggu depan.
“Saya juga perlu mengambil sedikit masa sebelum menghantar notis itu bagi meneliti perkara-perkara berkaitan secara menyeluruh.
“Perkara ini amat penting untuk diselesaikan kerana sekiranya berlaku perpecahan kecil dalam DUN Perlis dan tindakan diambil terhadap ADUN Bersatu, maka kekosongan baharu akan berlaku, sekali lagi berpotensi menimbulkan ketidaktentuan serta ketidakharmonian pentadbiran di Perlis,” katanya. – UTUSAN










