SEPANG: Semua petugas pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 di daerah ini akan melalui ujian calitan secara berkala bagi memastikan kesihatan dan keselamatan mereka sentiasa terjamin.
Pegawai Daerah Sepang, Mohamad Zain A. Hamid berkata, langkah itu diambil pihaknya supaya semua petugas yang terlibat dalam program vaksinasi di enam PPV di daerah itu selamat dan terlindung risiko jangkitan Covid-19.
“Keputusan diambil setelah perbincangan dilakukan dengan Pejabat Kesihatan Daerah Sepang baru-baru ini.
“Kita mungkin akan membuat ujian calitan pada hari-hari tertentu, mungkin dua atau tiga minggu kali seminggu supaya mereka bebas risiko jangkitan selain selamat bertugas,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau meninjau operasi pemberian vaksin di PPV Movenpick KLIA diiringi Pengurus PPV Movenpick, Dr. Noraziah Abdul Karim.
Dalam masa sama, Mohamad Zain berkata, sanitasi di PPV juga dilaksanakan setiap hari bagi menjamin kebersihan dan kesihatan semua yang berurusan selain prosedur pemeriksaan suhu setiap hari sebelum sukarelawan masuk bertugas.
“Sekiranya ada simptom atau demam mereka akan terus dihalang masuk dan akan digantikan dengan petugas lain serta-merta,” katanya dalam sidang media di sini.
Mohamad Zain berkata, pihaknya turut memantau rapat jumlah kehadiran orang mengambil vaksin ke PPV di daerah Sepang bagi mengelak berlaku kesesakan.
“Kita sudah ada pengamalan berdepan senario kesesakan pada awal pembukaan PPV di daerah ini dan belajar dari pengalaman itu memastikan semua individu yang hadir mengikut janji temu yang ditetapkan, ” katanya. – UTUSAN










