KLANG: Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Bandar Botanik Klang yang diwujudkan pada 2016 bakal ditutup jika geran bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak diterima.
Pengerusinya, Datuk Nor Shabudin Monil berkata, geran tersebut tertunggak sejak emoat bulan lalu.
“Geran yang kami terima melibatkan sewa sekolah PDK, gaji lima pekerja, elaun 33 pelatih iaitu orang kurang upaya (OKU).
“Tiga bulan geran tidak diterima maka kita terpaksa menutup operasi,” katanya semalam.
Tambah beliau, berdasarkan maklumat daripada cawangan lain di negeri ini, hanya PDK di bawah seliaannya sahaja belum menerima geran berkenaan.
“Tanpa geran tersebut sewa sekolah untuk anak-anak OKU tersebut telah tiga bulan tertunggak. Pekerja pun terpaksa merayu bakul makanan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Anak-anak OKU tujuh orang terlantar termasuk 26 yang boleh berjalan tidak mendapat elaun RM150. Sedangkan itulah wang untuk mereka membeli lampin pakai buang dan susu,” jelasnya.
Kata Nor Shabudin lagi, keluarga anak OKU yang turut terdiri daripada asnaf kini semakin tertekan tanpa elaun RM150 anak mereka itu. – UTUSAN ONLINE










