Timbalan Perdana Menteri ingatkan rakyat patuhi SOP, kawalan kendiri

TPM ingatkan rakyat patuhi SOP, kawalan kendiri

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun Hari Raya Aidiladha tahun ini disambut dengan sederhana namun tiada lebih bermakna jika setiap amalan diterima Allah, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Justeru itu beliau mengingatkan rakyat agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan di samping amalkan kawalan kendiri untuk keselamatan diri, keluarga dan masyarakat.

“Besar pengertian Aidiladha dan ibadah korban itu sendiri yang menuntut kita untuk terus bertaqwa kepada Allah SWT dengan penuh keikhlasan dan merendah hati.

“Walaupun Aidiladha disambut dengan sederhana, tiada yang lebih bermakna dari setiap amalan serta ibadah kita diterima oleh Allah yang Maha Esa.

“Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha buat semua muslimin dan muslimat,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Umat Islam di negara ini akan menyambut Aidiladha esok dan di dalam suasana pandemik Covid-19.

Namun Majlis Keselamatan Negara (MKN) menetapkan solat sunat Aidiladha dan ibadah korban adalah dibenarkan sempena Hari Raya Aidiladha kali ini bagi negeri-negeri di Fasa Satu dan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara.

Pada masa sama, takbir raya di masjid dan surau dibenarkan, namun takbir dari rumah ke rumah adalah tidak dibenarkan.

Menurut MKN, ibadah korban bagi negeri-negeri Fasa Satu dan Fasa Dua dibenarkan mengikut ketetapan oleh berkuasa agama negeri dan pihak-pihak berkaitan dengan penjarakan fizikal dan pematuhan.

Selain itu, program ziarah raya, ziarah tanah perkuburan dan majlis jamuan atau rumah terbuka pula tidak dibenarkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN