Tidak kisah ‘rugi’, peniaga jual musang king dalam bekas

Tidak kisah ‘rugi’, peniaga jual musang king dalam bekas

DURIAN musang king dari Raub yang dijual Mohamad Hakim Fahmi Awang (kanan) turut menjadi pilihan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah ketika ditemui di kedainya di Ladang, Kuala Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga durian di Ladang di sini memilih menjual musang king dalam bekas bagi memastikan para pelanggannya dapat menikmati buah-buahan yang segar dan berkualiti.

Mohamad Hakim Fahmi Awang, 40, berkata, walaupun terpaksa menanggung sedikit kerugian tetapi konsep yang diperkenalkan itu mampu mengelakkan orang ramai daripada unsur-unsur penipuan selepas berhabis ratusan ringgit untuk membeli raja buah berkenaan.

Katanya, kepuasan pelanggan merupakan keutamaan dalam perniagaan Durian 2.5K Musang King yang diusahakannya sejak tiga tahun lalu, malah orang ramai turut ditawarkan jaminan penggantian sekiranya tidak berpuas hati dengan bungkusan buah yang diterima.

“Kita menyediakan musang king segar dari Raub, Pahang setiap hari dan yang paling penting hanya durian yang berkualiti dibungkus kepada pelanggan.

“Terdapat dua bungkusan disediakan iaitu untuk satu kilogram yang berharga RM179 manakala bekas kecil pula RM69 bagi 350 gram,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohamad Hakim Fahmi berkata, kelebihan yang ditawarkan kepada pelanggan itu turut membolehkan 500 kilogram musang king laris setiap hari.

Katanya, kebanyakan pelanggan selesa membuat pesanan secara dalam talian berbanding berkunjung ke kedianya dengan tempahan membabitkan di sekitar daerah ini, Kuala Nerus dan Marang.

“Saya terharu dan gembira kerana antara pelanggan saya adalah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang membuat pesanan, Sabtu lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN