PETALING JAYA: Selain rakyat, kerajaan juga perlu menerapkan kebiasaan baharu dalam pentadbiran, antaranya menguruskan desakan petugas kesihatan kontrak.
Demikian ditegaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang melihat adalah tidak adil jika rakyat sahaja yang perlu menerapkan amalan kebiasaan baharu.
Menurut beliau, rakyat saban hari ditekankan supaya menerap kebiasaan baharu dalam kehidupan.
“Kata kerajaan, cara menguruskan kehidupan harian tidak boleh sama lagi. Pandemik telah mengubah semua termasuk perhubungan dan pekerjaan.
“Setiap perkara perlu mengambil kira tentang ancaman wabak Covid-19. Tetapi tidak adil jika rakyat sahaja perlu menerap kebiasaan baharu.
“Kerajaan perlu juga menerapkan kebiasaan baharu dalam pentadbiran. Kena lihat kepada keperluan dan kesusaian semasa dalam setiap perkara. Antaranya dalam menguruskan desakan petugas kesihatan kontrak,” katanya dalam Facebook beliau.
Menurut Ahmad Zahid, petugas kesihatan berkenaan merupakan barisan hadapan negara yang sangat penting ketika ini.
“Dulu kita bukan dalam perang melawan pandemik. Kini mereka amat diperlukan untuk berjuang di medan paling hadapan.
“Jadi tuntutan mereka untuk diserap perlu dipertimbangkan sebaik mungkin. Saya percaya setiap permasalahan ada penyelesaiannya.
“Semoga pihak terlibat akhirnya dapat mencapai keputusan menang-menang. Jika ini gagal diuruskan, malapetaka apa lagi agaknya bakal dihadapi negara?” tulisnya.










