PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan akan memastikan tindakan tegas diambil dan tiada lagi kompromi untuk membolehkan kilang-kilang menjadi penyumbang kes Covid-19 dibuka dengan sewenangnya.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jaminan itu disampaikan Ismail Sabri sewaktu beliau bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri ketika menyerahkan 10 cadangan Pemuda UMNO untuk menambah baik bantuan rakyat.
Beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri juga menegaskan tiada lagi pintu belakang dibuka bahkan akan dikunci serapatnya.
“Bukan itu sahaja insya-Allah, dalam isu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan sekatan pergerakan penuh, beliau juga akan pastikan tindakan tegas diambil untuk tiada lagi kompromi membolehkan kilang-kilang penyumbang jangkitan virus dibuka sewenangnya.
“Mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia juga saya mengucapkan tahniah kepada beliau atas lantikan tersebut. Beliau sempat beri jaminan, “Asyraf, don’t worry! Saya di sini kerana UMNO. Saya akan pastikan suara rakyat yang diperjuangkan oleh Pemuda akan saya sama-sama perjuangkan. Bantulah saya,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Kelmarin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan berkuat kuasa serta-merta.
Dalam satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri, pelantikan itu akan dapat membantu Perdana Menteri menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini.
Terdahulu, Asyraf Wajdi bertemu Timbalan Perdana Menteri yang baharu sahaja hari pertama masuk pejabat pagi ini, bagi menyampaikan sendiri 10 cadangan untuk menambah baik bantuan rakyat yang dirumuskan Pemuda UMNO.
Jelas beliau, Ismail Sabri komited dan bersetuju untuk jadikan semua tuntutan ini sebagai keutamaan beliau setelah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.










