PETALING JAYA: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bangi Avenue Convention Centre (BACC) HCO A, menafikan berlaku pemberian vaksin kosong pada 17 Julai lalu.
Sehubungan itu, satu laporan polis itu dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif PPV berkenaan kira-kira pukul 2.50 petang, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, laporan polis tersebut dibuat bagi menafikan satu ciapan di Twitter yang tular berkaitan kenyataan seorang lelaki yang juga penerima vaksin nyaris disuntik dengan vaksin kosong.
Bagaimanapun kata beliau, tiada sebarang gambar dan video berkaitan kejadian tersebut ditularkan.
“Hasil siasatan mendapati petugas di PPV berkenaan telah berhubung dan menerangkan dengan jelas prosedur pengambilan vaksin kepada lelaki tersebut dan penerima vaksin itu telah berpuas hati.
“Telah berlaku salah faham yang mana lelaki itu menyangka dirinya disuntik dengan vaksin kosong tetapi kejadian sebenar, dia telah disuntik dengan vaksin jenis Sinovac,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut kata beliau, tiada apa-apa laporan polis dibuat oleh penerima vaksin tersebut atau mana-mana individu berkaitan dakwaan hampir ditipu ketika menerima suntikan vaksin di pusat vaksin itu setakat ini.
“Laporan polis dibuat pihak BACC untuk menjelaskan dan menafikan perkara tersebut dan suntikan vaksin kosong adalah tidak berlaku.
“Kes telah disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan siasatan dapati ciapan di ruangan komen Twitter tersebut adalah dibuat oleh teman wanita penerima vaksin tersebut yang menyebabkan ia tular dan mendapat pandangan yang negatif daripada masyarakat terhadap perkara ini.
“Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan apa-apa kenyatan atau ciapan yang tidak pasti kebenarannya terutama bagi isu-isu sensitif seperti pemberian vaksin.
“Perkara ini bagi mengelakkan salah tanggapan atau pandangan serong daripada masyarakat serta boleh mendatangkan kegusaran dan mengganggu-gugat ketenteraman awam berkaitan isu pemberian vaksin tersebut,” jelasnya.










