Tiada istilah dipecat terhadap Tajuddin - Saarani Mohamad

Tajuddin bukan dipecat – Saarani

SAARANI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak dipecat sebagai sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO sebaliknya tanggungjawabnya itu diberikan kepada orang lain.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, penggunaan istilah pemecatan terhadap Tajuddin tidak boleh digunakan selepas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilantik menggantikan jawatan Tajuddin berkuat kuasa semalam.

“Kita tak boleh guna istilah pemecatan, beliau (Tajuddin) tidak dipecat, biasalah dalam mana-mana organisasi ketua akan cuba untuk mempelbagaikan kebolehan anggotanya.

“Sama seperti jika berlaku pertukaran portfolio bagi anggota Kabinet ataupun anggota Exco, tidak timbul cerita pemecatan,” katanya pada sidang media secara atas talian di sini hari ini.

Menurut Saarani, pelantikan Mohamad sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO adalah tugas yang biasa dilakukan oleh mana-mana ketua sesebuah organisasi.

“Saya tak fikir Presiden UMNO memecat, cuma beliau memberi tanggungjawab yang lebih kepada Datuk Seri Mohamad selaku Timbalan Presiden UMNO dan juga Timbalan Pengerusi BN.

“Pada saya itu adalah satu tugas yang biasa dilakukan oleh mana-mana ketua organisasi,” katanya.

Saarani berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Tajuddin atas khidmat bakti yang telah ditunjukan sebelum ini.

“Jadi saya ingat jangan guna istilah pemecatan, tak betul tu,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid dalam kenyataannya mengumumkan pelantikan Mohamad sebagai Pengarah Pilihanraya UMNO berkuatkuasa serta merta menggantikan Tajuddin.

Ahmad Zahid berkata, penstrukturan semula Jabatan Pilihan Raya UMNO itu bagi memperkukuhkan organisasi di setiap peringkat parti dan akar umbi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN