The Soul penuh debar - Utusan Malaysia

The Soul penuh debar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Permulaan naratif filem The Soul tidak mengambil masa terlalu cepat mahu pun lambat untuk memaku penonton terus mengikuti perkembangan naskhah itu.

Secara ringkasnya, filem arahan sutradara Cheng Wei-hao ini berlatarkan zaman kecanggihan teknologi digital yang memaparkan sepasang suami isteri, seorang pendakwa raya dan polis untuk membongkar kes pembunuhan usahawan terkenal, Wang Shih-tshung.

Bagaimanapun, dalam usaha menyelesaikan kes tersebut, suami isteri itu turut bergelut dengan hidup dan mati yang mana sang suami, A-Chao menghidap penyakit kanser.

Penceritaan diteruskan dengan siasatan bersulamkan saspens thriller bagi mencari pembunuh sebenar. Menariknya, tanpa disedari masa sudah sejam berlalu dan sangkaan penulis benar, berbaki sejam ke pengakhiran cerita pasti ada yang tidak kena.

Sejam pertama bagi merungkai kes pembunuhan dan mendapatkan keputusan untuk penjara si pesalah kelihatan seakan-akan terlalu mudah. Hal itu kerana, sub-plot dan plot twist tampak begitu mudah untuk menangkap pembunuh. Pendek kata, tiada halangan yang kuat.

Secara peribadi daripada pengamatan penulis, karya ini sengaja membuatkan penonton berasa tidak puas hati di pertengahan cerita dan secara tidak langsung penonton akan terasa mahu mencari pembunuh sebenar yang terlepas! Nah, sejam seterusnya membawa penonton menikmati rasa saspens thriller dan halangan-halangan sehingga kemuncak cerita tanpa henti.

Sebenarnya terlalu menarik dan banyak lagi halangan serta klimaks pada filem ini untuk diulas tapi takut terpecah tembelang pula. Pada asasnya, The Soul memberi motivasi kepada penonton tentang sikap perikemanusiaan dan perhubungan. Sejauh manakah anda sanggup berkorban untuk seorang yang anda sayangi?

Mungkin itulah antara persoalan moral yang membekas di hati penonton dan mengapa filem hasil penulisan Cheng Wei-hao, Jin Pai-lunn, dan Chen Yen-chi ini sangat menarik untuk ditonton menerusi saluran Netflix dengan diawasi ibu bapa kerana anda unsur keganasan.

Bercakap mengenai watak dan perwatakan setiap para pelakon utama sehingga pelakon tambahan yang dibarisi oleh bintang Chang Chen, Janine Chang, Christopher Lee, Anke Sun, Lin Hui-min, Samuel Ku, Zhang Bojia, dan Lu Hsueh-feng.

Pada pengamatan penulis, masing-masing memberikan persembahan yang baik sehinggakan tiada yang menyerlah, bahkan yang terserlah itu adalah naskhah ini sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×