IPOH: Temu janji untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 kepada rakyat negeri ini yang telah mendaftar untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bergantung kepada bekalan vaksin yang diterima negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, bekalan vaksin akan dipastikan mencukupi terlebih sebelum membuat temu janji dengan penerima dapat dibuat.
Katanya, berikutan itu mereka yang sudah berdaftar tetap belum menerima temu janji, diminta bersabar.
“Apabila nak panggil orang (temu janji vaksinasi), kita kena pastikan vaksin ada, kalau panggil orang tapi vaksin tak ada, kita yang akan kena. Jadi, sebab itu sebelum kita panggil orang, kita nak pastikan vaksin yang ada itu mencukupi.
“Temu janji bergantung pada bekalan vaksin, ada vaksin kita baru boleh jemput orang, jadi kena bersabar menunggu giliran mereka dipanggil,” katanya dalam sidang akhbar secara maya di sini hari ini.
Beliau ditanya mengenai keluhan orang ramai yang sudah mendaftar untuk PICK namun masih tiada temu janji setakat ini.
Saarani juga berharap bekalan vaksin untuk negeri ini diterima mengikut jadual.
Menurutnya, ini kerana kerajaan negeri mahu mempercepatkan pemberian vaksin kepada lebih 80 peratus penduduk negeri ini.
“Lagi cepat kita vaksin orang, lagi kita rasa selamat. Jadi tidak ada istilah saya puas hati atau tak puas hati mengenai bekalan vaksin untuk Perak, saya mahu bekalan vaksin dipercepatkan,” katanya.
Menurutnya, sehingga 26 Julai lalu, Perak telah menerima 1,191,789 dos vaksin.
Beliau berkata, mengikut jadual bekalan vaksin yang diterima bagi bulan Julai ialah 688, 760 dos dan sehingga 26 Julai lalu, bekalan yang sudah diterima negeri ini ialah sebanyak 438, 191 dos
“Manakala baki 250, 569 dos lagi dijangka diterima minggu akhir Julai iaitu minggu ini,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini, seramai 683,332 orang atau 36.9 peratus daripada penduduk negeri ini yang berusia 18 tahun ke atas telah diberikan vaksin dos pertama manakala 378, 851 orang atau 20.43 peratus daripada penduduk 18 tahun ke atas telah lengkap dua dos
“Perak mahu mencapai sasaran nilai ambang 40 peratus suntikan kepada rakyat pada penghujung Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama bulan september tapi unjuran ini tertakluk pada bekalan vaksin yang akan diterima bagi bulan Ogos dan September,” katanya. – UTUSAN