KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menarik semula kenyataan pembatalan Ordinan Darurat pada 21 Julai lalu dan membahaskannya di Parlimen mengikut prosedur yang sewajarnya.
Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Zamani Ibrahim berkata, penarikan semula pembatalan enam Ordinan Darurat yang dimasyhurkan selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau turut menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun untuk menghadap Seri Paduka dan memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan dan tidak berperlembagaan.
“Langkah kerajaan yang mentafsir Perlembagaan dan undang-undang mengikut nafsu sendiri hanya menyebabkan keharmonian semakin hilang, bukan hanya di Dewan Rakyat tetapi di seluruh negara.
“Bertanggungjawab dan jujurlah dengan peranan yang sepatutnya dimainkan. Rakyat akan terus memerhati sama ada anda (kerajaan) masih layak atau tidak untuk memimpin negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pagi tadi, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan yang telah dibuatkan di Parlimen bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan sedangkan ia belum mendapat perkenan dari Seri Paduka.
26 Julai lalu, Takiyuddin menjelaskan kerajaan Persekutuan telah membatalkan semua peraturan Ordinan Darurat namun kenyataan itu mendapat bantahan pelbagai pihak yang disifatkan tidak melalui proses yang betul selain ‘membelakangkan’ Yang di-Pertuan Agong.
Ketika ini, masih belum ada warta baharu yang dikeluarkan di laman web Jabatan Peguam Negara mengenai pembatalan peraturan tersebut.
27 Julai lalu, Takiyuddin enggan menjawab pertanyaan yang disuarakan berulang kali oleh ahli Parlimen sama ada Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan terhadap pembatalan Ordinan-ordinan Darurat yang diwartakan tahun ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pula menegaskan bahawa Takiyuddin hanya dapat memberi penjelasan pada Isnin minggu depan namun pembangkang merasakan ia membuang masa dan menjadi perbincangan akademik. – UTUSAN ONLINE