GEORGETOWN: Gabungan Liga Muslim Pulau Pinang dan Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim) menggesa kerajaan menangguhkan keputusan meletakkan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM).
Presiden Gabungan Liga Muslim yang juga Naib Presiden Permim, Datuk Najmudeen Kader berkata, pihaknya melihat tiada keperluan meletakkan Tabung Haji di bawah BNM memandangkan pengurusannya boleh dilantik daripada profesional muslim yang layak, mempunyai kepakaran kewangan dan ilmu Islam yang berteraskan pembangunan ummah.
“Tabung Haji bukanlah sebuah bank yang memberikan pinjaman, matlamat penubuhannya adalah bagi mengurus dan memudahkan orang Islam mengumpulkan wang untuk ke Mekah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Jemaah Menteri dilaporkan bersetuju menyenaraikan Tabung Haji sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia BNM.
Menurut Najmudeen, Tabung Haji juga ditubuhkan bagi memperkasakan ekonomi masyarakat Muslim melalui pelaburan-pelaburan yang tidak melibatkan riba.
“Sekiranya alasan bagi melindungi kepentingan pendeposit dan memperkasakan kedudukan kewangan Tabung Haji adalah lebih wajar dengan melantik pengurusan yang cekap.
“Selain itu, Tabung Haji juga perlu mempunyai pengurusan yang ada kepakaran dalam bidang perbankan dan pelaburan bagi menguruskannya,” katanya.
Dalam masa sama tambahnya, adalah wajar untuk semua pihak menunggu laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk membuat sebarang keputusan bagi keutuhan Tabung Haji pada masa hadapan.
“Kami juga yakin Tabung Haji mampu ditadbir dengan baik dengan pengurusan cekap terdiri daripada orang Islam yang boleh memberikan contoh integriti terbaik kepada institusi itu yang kini terkenal di dunia Islam,” katanya.










