IPOH: Kejadian tembok pagar utama sebuah masjid di sini diconteng dengan tulisan berwarna merah mungkin disebabkan tidak puas hati kerana bunyi pembesar suara yang kuat semasa sesi kuliah agama di masjid berkenaan baru-baru ini.
Seorang penduduk yang tinggal berdekatan masjid berkenaan berkata, dia menyedari bunyi pembesar suara masjid agak kuat semasa satu majlis sesi kuliah di masjid tersebut selepas solat Maghrib baru-baru ini.
Menurutnya, suara penceramah yang menyampaikan kuliah yang agak nyaring mungkin menyebabkan bunyi pembesar suara menjadi lebih kuat.
“Saya tidak pasti punca sebenar kejadian menconteng tulisan pada tembok pagar utama masjid. Mungkin ada kaitan dengan bunyi pembesar suara yang kuat semasa sesi kuliah baru-baru ini.
“Kalau hendak dikatakan bunyi azan terlalu kuat, tiada aduan mengenainya sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, tinjauan mendapati contengan tulisan berwarna merah ‘jangan buka bunyi terlalu kuat’ pada tembok pagar utama masjid berkenaan sudah dipadamkan semalam.
Sebelum ini, gambar contengan pada masjid berkenaan tular dalam media sosial dan polis sedang menyiasat laporan kejadian itu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, laporan polis itu dibuat seorang pesara berusia 60 tahun yang merupakan ahli jawatankuasa masjid tersebut.
Yahaya berkata, dalam aduannya, ahli jawatankuasa masjid itu memaklumkan tiada individu mahupun kumpulan pernah menyatakan rasa tidak puas hati berkenaan bunyi yang kuat dari pembesar suara masjid.
Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan pelaku terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencemarkan tempat ibadat.
Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) ada menyediakan garis panduan mengenai tatacara penggunaan pembesar suara sewaktu azan atau sesi kuliah dan semua masjid perlu mengikuti garis panduan tersebut. – UTUSAN










