KOTA BHARU: Pembantu kantin di sebuah kilang buntu tidak mampu membeli susu dan beg stoma bagi keperluan suami yang menghidap kanser usus tahap empat di Kampung Kijang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini.
Zainun Omar, 42, sudah tiga bulan tidak bekerja selepas kantin di kilang tersebut ditutup sejak April kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini, dia tiada wang langsung untuk membeli keperluan asas suaminya, Mayuna Yusof, 51.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Zainun memberitahu, setiap bulan dia perlu membelanjakan RM600 untuk membeli beg stoma bagi membolehkan suami membuang air besar serta susu khas untuk lelaki itu.
“Sebelum ini, gaji saya RM1,000 sebulan. Daripada jumlah itu, saya memperuntukkan sebahagian besar untuk keperluan suami.
“Namun disebabkan saya belum lagi boleh bekerja di kantin kilang itu, saya tidak dapat membelinya setiap bulan kecuali ada penderma atau badan bukan kerajaan (NGO) yang menghulurkan wang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Terdahulu Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud menyampaikan kotak makanan kepada keluarga tersebut menerusi Op Bantu bersama Skuad Aman Wanita (Amanita) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia ( Rela).
Menurut Zainun, selain keperluan bulanan terganggu, dia juga berdepan masalah mendapatkan wang bagi menampung kos rawatan suami pada masa tertentu.
“Jika terima sumbangan wang, saya utamakan membeli beg stoma sekurang-kurangnya 40 keping untuk sebulan, walaupun jumlah sebenar sepatutnya lebih daripada itu. Saya terpaksa berjimat dengan cara menggunakan itu bagi tempoh dua atau tiga hari, selagi tidak bocor.
“Keperluan makanan tiada masalah kerana ada pelbagai pihak menghantar bekalan itu termasuk beras, telur dan lain-lain untuk kegunaan harian kami,” katanya yang turut menyara dua anak perempuan berumur 14 dan 18 tahun.
Anak sulung perempuan mereka berumur 26 tahun turut menumpang tinggal bersama mereka biarpun sudah berkahwin dan sebagaimana ibunya, dia turut hilang punca rezeki kerana bekerja di kantin kilang yang sama.
Kata Zainun, nasib mereka sekeluarga boleh dikatakan ‘serba-serbi’ malang bagaikan jatuh ditimpa tangga kerana menantu mereka yang bekerja sebagai buruh juga tidak dapat bekerja sepanjang tempoh PKP kali ini.
“Kami berterima kasih kepada pihak polis kerana sudi membantu golongan yang memerlukan ketika pandemik Covid-19 masih lagi melanda negara ini,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Zainun di talian 013-9367035. – UTUSAN